KANGAR – Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yakin Barisan Nasional (BN) akan mencatat kemenangan 100 peratus di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.
Md Isa yang juga Pengerusi BN Perlis, berkata ini berdasarkan sokongan masyarakat terutama golongan muda yang memberangsangkan terhadap program anjuran BN dan parti komponen, terutama Umno.
Selain mengekalkan tiga kerusi parlimen, kami juga yakin dapat merampas kembali dua kerusi dewan undangan negeri iaitu Simpang Empat dan Sanglang daripada Pas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong, di sini hari ini.
Menurut Md Isa, BN Perlis giat memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perancangan yang dilaksana kerajaan untuk kepentingan masyarakat.
Sementara itu, sebanyak 120 anggota Pemuda Umno kawasan Bintong menyertai program Jelajah Gelombang Biru dengan menunggang motorsikal sambil membawa bendera BN mengelilingi kawasan DUN Bintong.
Konvoi itu juga akan singgah di enam bilik gerakan peti undi kawasan tersebut bagi menyemarakkan gelombang BN dalam kalangan masyarakat. – Bernama
