KOTA BHARU- Seorang lelaki dipercayai Geng Zawa di sini, semalam hanya mampu tersenyum selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan tiga sebatan setelah dia mengaku bersalah memiliki 400 pil methaphetamine pada Oktober lalu.
Majistret Mohd Isa Mohamed menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Juhari Mat Jusoh, 26, selepas dia mengaku memiliki dadah seberat 6.14 gram berkenaan pada jam 9.25 malam pada 15 Oktober 2012.
Mengikut pertuduhan, Juhari yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang didakwa memiliki dadah tersebut di tepi Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.
Pada 15 Oktober lalu, sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan membuat rondaan dan terserempak sebuah kereta waja di bulatan Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa dalam keadaan laju.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui dua plastik berwarna biru di dalam poket seluar hadapan sebelah kanan yang dipakai tertuduh, setiap satu mengandungi 198 pil berwarna kemerahan dan dua pil warna kehijauan disyaki dadah.
Jumlah keseluruhan ialah 396 pil berwarna kemerahan dan empat pil berwarna kehijauan.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh. Bagaimanapun, Juhari yang tidak diwakili peguam itu memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman paling minimum terhadapnya.- Sinar Harian
