AMIRUL HAFIZ
KOTA BHARU – Mesyuarat Exco Kerajaan negeri telah meluluskan untuk melantik satu syarikat membuat kajian seismik membuktikan negeri ini mempunyai telaga simpanan minyak di beberapa kawasan darat termasuk di Kota Bharu.
Exconya, Datuk Husam Musa berkata, proses pelantikan syarikat tersebut akan dilakukan selepas ia diputuskan dalam mesyuarat exco semalam.
“Nanti saya akan angkat kertas asing menamakan syarikat berkenaan dan kepakaran-kepakaran yang terbabit,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Tambahnya, sehubungan itu beliau akan berunding dengan syarikat yang berkemahiran dalam perkara tersebut bagi mempercepatkan proses penemuan minyak di daratan Kelantan.
“Kita akan mengguna pakai setiap undang-undang yang ada bagi Kelantan menghasilkan sendiri pengeluaran minyak di daratan,” katanya.
Menjawab anggaran keluasan kawasan yang ditemui secara ringkas beliau berkata, ia lebih besar dari lautan.
“Saya tak boleh buat sepekulasi. Yang pentingnya adalah Kelantan pada asasnya mempunyai rezab minyak di daratan,” jelasnya.
