GUA MUSANG – Seramai 70 penduduk yang meneroka tanah di Kampung Sungai Relai, kecewa apabila mereka dituduh sebagai penceroboh oleh sebuah syarikat yang mendakwa tanah berkenaan milik mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penyelesaian Tanah itu, Mat Mat Daud berkata, mereka meneroka tanah terbabit sejak tahun 1990, sebaik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan membenarkan penduduk meneroka tanah kerajaan kerana ia tanah Tuhan.
Malah menurutnya, mereka sudah menjelaskan pembayaran tanah itu bagi mendapat hak milik, hampir 10 tahun lalu dengan kadar RM3,865 bagi kawasan seluas 2.4 hektar.
“Kini lain pula yang berlaku apabila tanah penduduk yang sudah ditanam dengan pelbagai tanaman diluluskan kepada syarikat asing dan menuduh kita pula menceroboh kawasan itu.
“Sedangkan kita lebih awal berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan syarikat terbabit.
Mat berkata, sebahagian tanaman penduduk termasuk pokok getah, kelapa sawit dan tanaman lain mula disodok syarikat berkenaan sejak tahun lepas, tanpa ada perbincangan terlebih dahulu.
Menurutnya, berulang kali penduduk menemui pihak pengurusan syarikat itu bagi menyelesaikan masalah, namun pelbagai alasan diberi sebelum mengarah penduduk mengisi borang bagi membuat sebarang tuntutan dengan syarikat terbabit.
Malah, tambahnya, syarikat itu juga berjanji meneliti semula tanah yang diterokai penduduk.
“Apa yang berlaku, syarikat itu mengeluarkan surat menyatakan penduduk ceroboh tanah berkenaan pula,” katanya.
Peneroka, Mohamad Zain Minal, 65, pula berkata, dia akan tetap mempertahankan tanah diterokai lebih 20 tahun itu, kerana itu sahaja sumber pendapatannya.
“Kita ada hak ke atas tanah itu kerana kita lebih dahulu menerokanya dan sudah memohon hak milik.
“Cuma kita hairan, kenapa syarikat itu yang baru dua tahun memajukan kawasan tanah berkenaan sudah mendapat hak milik Kerajaan Negeri,” katanya.
Sementara itu, wakil syarikat berkenaan menyatakan, bahawa penduduk telah menceroboh tanah milik syarikat itu.
“Kita memajukan tanah ini selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Dia turut berjanji akan menemui semula penduduk bagi menyelesaikan masalah dihadapi.- Sinar Harian
