Kenangan 32 Tahun Bergelar Tentera

KOTA BHARU – Upacara pengisytiharan kemerdekaan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur masih segar di dalam ingatan bekas tentera, Mohd Noor Yaakob, 77.

Beliau yang pada ketika itu berumur 22 tahun sedang berkhidmat dengan Angkatan tentera British (RAF) Rejimen Malaya dan turut sama terlibat dengan detik bersejarah tersebut apabila mewakili pasukannya melakukan perbarisan.

“Ia masih segar di dalam ingatan saya bahkan ia seperti baru sahaja berlaku walaupun negara kita sudah 55 tahun merdeka.

“Pada waktu itu hujan lebat yang turun semenjak jam 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga jam 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh orang ramai,” katanya.

Menurutnya, ia menyebabkan upacara ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis mula kedengaran bukan pada jam 7 pagi seperti yang dijangka tetapi pada jam 8 pagi.

Mohd Noor yang berasal dari Padang Bongor, Kota Bharu berkata, ramai yang terlibat dengan majlis pengumuman itu antaranya ialah Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Beliau berkata, laungan kemerdekaan “MERDEKA” dilaungkan oleh Tuanku Abdul Rahman disambut sebanyak tujuh kali oleh 20,000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan pada ketika itu hatinya begitu sayu bercampur di antara rasa gembira dan sedih.

“Selepas itu hidup mula berubah apabila setahun kemudian saya menamatkan perkhidmatan dengan menyertai askar Melayu Diraja selama 27 tahun dan bersara pada tahun 1985 sebagai Pegawai Waran Kelas Dua.

“Sukar untuk saya gambarkan situasi sebelum merdeka dan jika boleh biarlah ia terus menjadi kenangan buat selama-lamanya,” katanya.

Mohd Noor berkata, sepanjang bertugas sebagai tentera beberapa kali nyawanya terselamat daripada menjadi mangsa peperangan di antaranya ialah pada tahun 70an di Kampung Pasir, Lundu, Sarawak apabila 14 rakan seperjuangannya terkorban akibat serangan hendap yang dilakukan oleh Komunis.

Katanya, bukan itu sahaja beliau juga nyaris maut ketika diserang semasa pertempuran yang berlaku di Gubir, Kedah sehingga mengorbankan tujuh anggota seperjuangannya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu melahirkan rasa bersyukur kerana dipanjangkan umur dan dapat menikmati kehidupan sehingga sekarang di samping isteri,  Wan Zainab Wan Ahmad, 60, dan 10 orang anak.

“Setiap kali perlu bertugas antara perkara yang bermain di fikiran saya ialah di mana dan bila saya akan terkorban.

“Kadang-kadang kata-kata yang bermain di fikiran itu menjadi semangat dan membuatkan saya lebih berhati-hati  semasa bertempur di medan perang sehinggalah sekarang,” katanya.

Menurutnya, yang pernah ditugaskan ke Congo, Hong Kong dan Singapura itu berkata, mungkin pengalamannya berbeza dengan orang lain kerana sepanjang sebelum merdeka dan selepas merdeka dirinya hanya diabdikan di medan perang sahaja.

Sambil berseloroh Mohd Noor berkata, jika sekarang beliau diminta menjadi tentera semula arahan tersebut akan dilaksanakan kerana beliau tahu suasana pekerjaan sekarang dan dahulu sangat berbeza.

Beliau berkata, disebabkan itulah sebagai orang lama beliau mengharapkan generasi sekarang tidak memandang ringan terhadap perjuangan bekas tentera sebelum ini.

“Bukan senang untuk kecapi kehidupan sekarang kerana telah ramai yang terkorban dan kehilangan insan tersayang.

“Jadi saya berharap anak-anak muda dapat mengenang jasa dan pengorbanan mereka dan ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang apabila tiba bulan Ogos sahaja,” katanya. – Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

One Comment on “Kenangan 32 Tahun Bergelar Tentera”

  1. fahmy
    January 21, 2013 at 5:02 pm #

    assalamualaikum, sy fahmi ingin minta jasa baik tuan, untuk mendapatkan alamat atau cara untuk menghubungi pesara-pesara tentera yg di atas bg tujuan menjalankan kajian tentang kemerdekaan dan zaman penjajahan jepun. harap tuan dapat membantu.

    sy serta kan email sy untuk tindak balas tuan fahmy2808_jj@yahoo.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: