Shafee Serah Kepada Pihak Berkuasa

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Datuk Shafee Yahaya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes pemilikan harta Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Beliau yang enggan memberikan sebarang komen bagaimanapun sedia untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan menyambung kembali siasatan kes itu.

“Tak payahlah komen apa-apa lagi, biarlah pihak berkuasa yang siasat dan saya sedia beri kerjasama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pengendali portal propembangkang, Raja Petra Kamaruddin kelmarin tampil sekali lagi mendedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pegawai kanan BPR menutup kes rasuah membabitkan Azmin.

Dakwa Raja Petra, satu fail sulit bertarikh 15 Mei 1995 yang diserahkan oleh bekas pegawai kanan BPR itu kepadanya jelas menunjukkan Azmin memiliki kekayaan yang tidak seimbang berbanding pendapatannya sebagai penjawat awam dan ia disokong pula dengan bukti pemilikan saham oleh isteri Azmin, Shamsidar Taharin bernilai lebih RM7 juta.

Menurut dokumen sulit tersebut, satu arahan bertulis, KUS atau kemas untuk simpan telah dikemukakan kepada pegawai kanan BPR terbabit.

Shafee semalam dilaporkan berkata kepada beberapa buah akhbar, beliau mengaku pernah mengesyorkan kepada Anwar supaya mengambil tindakan disiplin terhadap Azmin.

Dalam kenyataan itu, Shafee memaklumkan kepada akhbar tersebut, cadangan tindakan disiplin itu dikemukakan selepas siasatan rasuah dijalankan terhadap Azmin.

Shafee bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada cadangan itu diterima atau tidak namun menyangkal pernah mengarahkan pegawai penyiasat (IO) menghentikan siasatan separuh jalan sambil menegaskan setiap siasatan BPR perlu diselesaikan oleh IO melainkan mendapat arahan sebaliknya.

Beliau turut menafikan bertindak di luar bidang kuasa atau mengarahkan IO menutup fail siasatan rasuah membabitkan Azmin pada tahun 1995.

Shafee turut menegaskan kepada akhbar itu bahawa tiada bukti menunjukkan beliau memberi arahan kepada IO supaya menghentikan siasatan sambil menjelaskan terdapat tiga tindakan boleh diambil dalam setiap siasatan.

Katanya, pertama ialah pendakwaan disusuli tindakan disiplin. Kedua, jika individu terbabit ialah penjawat awam dan tiada elemen rasuah tetapi wujud keadaan yang mana seseorang itu mempunyai banyak hutang atau hidup melebihi kemampuan, tindakan disiplin boleh diambil.

Ketiga, katanya adalah pilihan terakhir yang mana siasatan itu ditutup jika tiada kes untuk dijawab.- Utusan Malaysia

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: