RONG CHENOK – Mungkin ada yang tidak tahu, di Rong Chenok terdapat sekolah tahfiz yang melahirkan ramai ilmuan, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara.
Institut Tahfiz Al-Balaghulmubin ini dibuka pada 1988, memuatkan 150 pelajar lelaki dan mendapat didikan daripada enam guru dan tujuh kakitangan.
Penyelia asrama, Che Din mohamad berkata, lebih 100 pelajar dari pusat ini, berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Al-Azhar.
Beliau berkata, asrama sekolah ini, dibina ketika pentadbiran Bekas Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Muhamed Nasir.
Menurutnya, sekolah ini pernah ditutup pada 1996, iaitu selepas kematian Datuk Muhamed pada 1996 dan dibuka semula atas usaha anak-anaknya, dua tahun kemudian.
“Kebanyakan pelajar, merupakan pelajar luar Kelantan, malah ada di antaranya, pelajar luar negara.
“Sehingga kini, seramai 105 pelajar lelaki berusia 12 hingga 15 tahun, sedang mengikuti pengajian hafazan al-Quran,” katanya.
Menurutnya, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti keagamaan bersama penduduk setempat, terutama ketika majlis Maulidur Rasul, program giat Ramadan dan banyak lagi.
Che Din berkata, selepas tamat persekolahan, mereka boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama di Pusat Pengajian Pondok Bachok.
“Suasana Tasik Danau dan kedudukannya berdekatan Masjid Brunei, menjadikannya tempat yang tenang untuk menuntut ilmu agama.
“Seramai 105 pelajar tahfiz akan memenuhi Masjid Brunei setiap malam, bagi menghafal al-Quran, memandangkan suasananya yang tenang dan menyamankan,” katanya. – Sinar Harian

Sy mohon share artikel tuan…..